Sewaktu filem Fast & Furious 7 menjalani penggambaran, kematian Paul Walker dalam kemalangan tragik menggemparkan peminat dan industri filem antarabangsa.
The Hollywood Reporter melaporkan tragedi itu kini mencipta satu lagi impak baru apabila tuntutan insurans terhadapnya menjadi yang tertinggi dalam sejarah Hollywood.
Tuntutan berkenaan dianggarkan sebanyak AS$50 juta (RM160.3 juta) dalam pada sekuel akhir filem berkenaan menjalani penggambaran selama 13 minggu dan dijadualkan berakhir pada Julai.
ia mungkin menimbulkan ketegangan antara Universal Pictures dan syarikat insurans produksi itu, Fireman’s Fund kerana kos dilihat meningkat secara mendadak selepas kematian Walker.

TUNTUTAN insurans daripada kemalangan yang meragut nyawa Paul Walker dilaporkan menjadi tuntutan tertinggi dalam sejarah Hollywood.
Satu sumber memberitahu penerbitan filem yang menelan belanja AS$200 juta (RM641.3) itu kini dijangka meningkat kepada AS$250 juta (RM801.6).
“Mereka cuba menyiapkan filem berkenaan mengikut skrip asal dan menggantikan Paul menggunakan teknologi digital komputer,” katanya.
Bagi memungkinkan perkara ini, dua saudara kandung Walker, Cody, 25 dan Caleb, 36, akan mengisi babak berkenaan bila diperlukan dan untuk meniru aksi Walker sebagai Brian O’Conner.
Penerbit akan menggunakan khidmat Weta Workshop yang pernah digunakan dalam filem Lord Of The Rings untuk menjana kesan khas.
Tiga kamera termasuk kamera utama diperlukan bagi menyempurnakan perkara itu.
“Banyak peralatan diperlukan. Semua perkara yang mereka mahu lihat daripada “bayangan” Paul perlu dilakukan tiga kali. Tiga pelakon kali tujuh kamera setiap babak pastinya memakan belanja yang sangat besar,” kata sumber berkenaan.
Pengarahnya, James Wan pula dikatakan cuba mencipta babak baru daripada rakaman yang tidak digunakan dalam dua filem Fast & Furious sebelum ini.
Kemalangan ngeri membabitkan kenderaan yang dinaiki Paul menyebabkan penggambaran filem itu tergendala selama empat bulan dan penulisnya, Chris Morgan terpaksa mengubahsuai babak dan pelakon yang memerlukan bayaran tambahan kerana penambahan waktu penggambaran.
Apa yang menjadi persoalan kini adalah jumlah keseluruhan perbelanjaan yang digunakan bagi menyiapkan filem berkenaan dengan ketiadaan Walker sebagai satu daripada watak utama filem itu.
Broker insurans daripada syarikat Arthur J Gallagher & Co, Brian Kingman percaya, Fireman’s Fund terpaksa membayar jumlah tuntutan itu.
Sementara jurucakap Universal Studio berkata Fireman’s Fund memberi kerjasama yang baik. Tetapi satu sumber lain mendakwa syarikat itu dan Universal Studio tidak sependapat mengenai kesan kematian Paul terhadap kos pembikinan filem berkenaan.
Namun begitu, Universal Studio tetap menyambung penggambaran filem berkenaan pada April dan turut merancang satu lagi sekuel filem aksi perlumbaan kereta itu.
Fast & Furious 7 yang disifatkan sebagai filem khas memperingati mendiang Paul, dijangka ditayangkan pada 10 April 2015.